IKLAN BANNER RM30 SEBULAN

Sila email ke dirzoom(at)yahoo.com

Sunday, October 28, 2012

shalehudin: Amanat yang penuh iktibar... [BACA]

shalehudin
...pentingkan yang lebih penting kerana yang lebih penting itu lebih penting dari yang penting
thumbnail Amanat yang penuh iktibar... [BACA]
Oct 28th 2012, 09:26

Qurban: Tersurat dan tersirat


Allahu Akbar , Allahu Akbar , Allahu Akbar Walillahilhamd .

Dengan penuh pasrah kami menyambut Hari Pengorbanan Agong Eid Adha Mubarak yang menjengah sekali lagi. Dengan hari agong yang mempunyai mesej besar untuk membentuk penjernihan hidup dan penyegaran iltizam mengabdi diri kepada Allah, kami mengingatkan diri sendiri serta seluruh kerabat MAPIM khususnya serta umat seluruhnya agar menghirup ruh pengorbanan yang paling segar pada sambutan kali ini.

Dalam suasana umat Islam dan Islam diserang dari pelbagai penjuru, tidak berlebihan untuk kami mengingatkan bahawa panggilan jihad kepada umat paling relevan untuk dikemundangkan di saat kita bertakbir, bertahmid dan bertasbih.

Jelas Allah telah memberi medan paling baik untuk kita semua bermuhasabah terhadap rasa terikat dan sayang kita kepada keselesaan hidup di dunia sehingga terasa sangat berat merenggangkan diri dari semua yang disebut sebagai kesedapan duniawi.

Sudah sampai masanya ketaqwaan Ibrahim dan kesiapsediaan Ismail dalam peristiwa agong pengorbanan ini menyuntik faham yang jernih mengenai bagaimana merealisasikan hidup pasrah kepada Allah melalui ibadah berqurban.

Bukankah pengorbanan yang ditunjukkan oleh kedua anak beranak ini bermuara dari ketaqwaan yang tertinggi sehingga segala implikasi yang bakal diterima menjadi tersangat kerdil bila bertembung dengan arahan Illahi?

Kami merasakan sangat relevan umat disuntik dengan kesediaan untuk berkorban demi menjamin izzah dan quwwah Islam tidak dipermain-mainkan dan dinista dengan pelbagai tohmah murahan.

Dalam suasana yang kini menguji keutuhan keimanan umat, sikap permusuhan dan pengnistaan agama oleh golongan bukan Muslimin yang menyimpan rasa dendam kesumat kepada Islam akan menjadi isu yang akan mendepani setiap Muslim yang prihatin.

Kita diajar dalam ibadah qurban untuk menjadi sangat sensitif kepada apa sahaja yang menyentuh maruah Islam dan martabat ummah. Sebab itu mencemuh, mengherdik dan memburukkan imej Islam dan segala hukum yang menjadi sistemnya adalah cabaran kepada maruah kita.

Kita hanya ada dua pilihan: bangkit semula sebagai umat yang memimpin atau menyerah diri untuk menjadi umat terpinggir dan dihina.

Tidak cukup dari itu, jika kita membuat pemetaan dan profil mengenai situasi Umat, tugas dan amanah untuk mengembalikan muruah umat tidak tertanggal dari sosok hidup setiap orang Muslim.
Mungkinkah seorang Muslim itu boleh memekakkan telinga dan memejamkan mata bila melihat agamanya dihina dan umatnya diperkosa? Apakah mungkin seorang Muslim membisukan mulut dan memandang ke arah lain ketika mana ada saudaranya seagama disembelih dan dilayan bagaikan haiwan?

Lantaran itu kita harus meneliti dan menghayati bahawa selagi erti pengorbanan tidak dijernihkan, kita tidak akan menemukan jalan keluar kepada usaha mengembalikan izzah ummah.

Jika diteliti Qurban (قربن) berasal dari kata qaraba (قرب) yang artinya adalah mendekati. Bermakna ia adalah upaya mendekatkan diri kepada Allah subhanahu wa ta'ala.

Kita sangat memahami bahawa Qurban yang secara khusus pada hari nahar (hari raya qurban, idul adha) dan hari tasyrik adalah upaya mendekatkan diri kepada Allah dengan menyembelih binatang tertentu, yang disebut dengan udhhiyah dan dhahiyah.

Dalam hal ini jika fadhilah qurban dihayati maka ia bukan sekadar simbol namun adalah manifestasi kecintaan kepada Allah.

Rasulullah shallallaahu 'alaihi wasallam bersabda :

مَا عَمِلَ آدَمِىٌّ مِنْ عَمَلٍ يَوْمَ النَّحْرِ أَحَبَّ إِلَى اللَّهِ مِنْ إِهْرَاقِ الدَّمِ

Tidak ada amalan yang diperbuat manusia pada hari raya qurban yang lebih dicintai oleh Allah selain menyembelih hewan. (HR. Tirmidzi)

Demikian besar sekali kelebihan qurban sehingga ganjarannya dihitung pada setiap bulu haiwan yang disembelih adalah kebaikan.

Rasulullah shallallaahu 'alaihi wasallam bersabda :

إِنَّهَا لَتَأْتِى يَوْمَ الْقِيَامَةِ بِقُرُونِهَا وَأَشْعَارِهَا وَأَظْلاَفِهَا وَإِنَّ الدَّمَ لَيَقَعُ مِنَ اللَّهِ بِمَكَانٍ قَبْلَ أَنْ يَقَعَ مِنَ الأَرْضِ

Sesungguhnya hewan qurban itu kelak pada hari kiamat akan datang beserta tanduk-tanduknya, bulu-bulu dan kuku-kukunya. Sesungguhnya sebelum darah qurban itu mengalir ke tanah, pahalanya telah diterima di sisi Allah. (HR. Tirmidzi)

Namun rahsia terbesar dari ibadat Qurban adalah pada menenangkan jiwa.

Rasulullah shallallaahu 'alaihi wasallam bersabda:

فَطِيبُوا بِهَا نَفْسًا

Maka tenangkanlah jiwa dengan berqurban. (HR. Tirmidzi).

Kami berpendapat bahawa yang menjadi persoalan yang terbesar ialah bagaimana berkorban melepaskan suatu yang dicinta demi kecintaan kepada yang lebih unggul. Rahsia menjadikan pengorbanan suatu yang ringan itulah nikmat yang sukar dirasai jika tidak disertai dengan keihklasan.

Kami mendapati seluruh kerabat MAPIM khususnya sedang giat mengajari diri untuk menghargai . Sesungguhnya yang penting bukan nilai harga pada sesuatu benda, akan tetapi kemampuan untuk menghargai. Pengorbanan dalam melakukan pelbagai gerakerja untuk membela nasib saudara kita di Gaza, Somalia, Myanmar dan Mindanao adalah terletak kepada kemampuan kita menghargai erti persaudaraan dalam ber"ummah" dan ber"Islam".

Keadaan umat di Myanmar yang terkini sangat menyayatkan hati. Mereka sudah mengistiharkan bahawa mereka tidak akan merayakan Eid Adha tahun ini kerana serangan yang semakin meningkat ke atas Umat Islam sedang dilancarkan semula. Kezaliman yang dialami tidak terbela oleh seluruh Umat Islam sehingga saat ini. Eid Adha dengan perlumbaan menyembelih haiwan antara sesama Umat Islam tidak bererti jika ada sebahgian umat yang sedang berhadapan dengan penindasan yang sangat zalim.

Mari kita serlahkan taggungjawab berkorban dalam ertinya yang tersurat dan tersirat. Moga Allah melayakkan kita memikul amanah menjaga agamaNya sehingga nafas kita yang terakhir.

Allahu Akbar , AllahuAkbar , AllahuAkbar , walillahilhamd.

AMANAT EID ADHA 1433H DARI SETIAUSHA AGONG MAPIM
Mohd Azmi Abdul Hamid


Delicious Digg Evernote Facebook Google Bookmarks LinkedIn StumbleUpon Tumblr Twitter
You are receiving this email because you subscribed to this feed at blogtrottr.com.

If you no longer wish to receive these emails, you can unsubscribe from this feed, or manage all your subscriptions

No comments:

Post a Comment